Perkhidmatan tadika/Prasekolah Koperasi Tadika Minden Pulau Pinang Berhad (KTMPPB) bertujuan memberi bimbingan dan pendedahan awal kepada kanak-kanak. Matlamat utama penubuhan ini adalah untuk mengembangkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek seperti menguasai pelbagai kemahiran asas dan memupuk sikap positif.
Kurikulum yang digunakan di KTMPPB adalah berdasarkan Garis Panduan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Di KTMPPB kami menekankan pengalaman dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menggembirakan untuk membekalkan kanak-kanak dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap yang positif sebagai persediaan untuk memasuki alam persekolahan formal dan pendidikan sepanjang hayat. Pengajaran dan pembelajaran di KTMPPB dilaksanakan secara fleksibel dalam suasana pembelajaran yang selesa dan ceria untuk menggalakkan naluri ingin tahu, suka meneroka dan menjelajah serta memberi pengalaman baru kepada kanak-kanak.
Tenaga pengajar di KTMPPB adalah seramai 18 orang bermula dengan Guru Besar, penolong kanan, guru dan pembantu guru kelas pagi serta guru dan pembantu guru kelas petang. Mereka merupakan guru-guru yang berpengalaman serta mempunyai Sijil Perguruan Prasekolah. Mereka juga telah mengikuti beberapa kursus dan latihan perguruan yang melayakkan mereka untuk mengajar.
Di KTMPPB juga, pelbagai kemudahan turut disediakan. Sebagai contoh, setiap kelas dibekalkan dengan kemudahan asas, bahan permainan, set komputer serta sebuah televisyen yang digunakan sebagai salah satu alat bantu mengajar seiring dengan perkembangan teknologi dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, fasiliti lain seperti bilik muzik, bilik komputer, perpustakaan dan padang permainan turut disediakan bagi memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Di KTMPPB, terdapat beberapa program tahunan yang dijalankan seperti sukaneka, hari graduasi, hari terbuka dan sambutan seperti sambutan perayaan, kemerdekaan dan pelbagai aktiviti.